Takaful yang bermaksud saling
menjamin, berasal dari perkataan Arab - kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong
menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta'awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan.
Persoalan seterusnya adalah tentang perbezaan antara insurans konvensional dengan takaful. Mesti ramai
tertanya-tanya soalan ini. Objektif
insurans boleh diungkapkan sebagai golongan
ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik.
Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam
surah al-Maaidah, ayat 2, secara terangnya turut
menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia untuk
mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud:
"Dan hendaklah kamu tolong
menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong
di atas perkara dosa dan permusuhan".
Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah ciri
utama yang membezakan takaful dan insurans konvensional?
Pada 15 Jun 1972 merupakan tarikh
penting bermulanya pengumuman terhadap penerokaan dan kajian yang dibuat ke
atas kontrak insurans konvensional.
Pada tarikh tersebut, Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans
nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat
insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana
mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.
Para ulamak telah
sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti
kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru'at menjadi teras utama
yang membina paksi Takaful.
Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring
dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru'at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir.
Tabarru' merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap
peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat
yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka
menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk
saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.
0 comments:
Post a Comment